Belum sempat duduk lama setelah kembali ke rumah petang tadi, telefon tangan saya berbunyi. Dari nada dering yang kedengaran, saya sudah mengetahui panggilan itu datangnya dari salah sebuah perlindungan yang pernah saya kunjungi. Dan seperti yang saya duga, panggilan itu datangnya dari Kak Ana, yang menjaga rumah perlindungan di mana pernah saya menghantar Anita dan anaknya serta Sharifah dan Cek Mek ku yang comel.
Tenang saja suara Kak Ana ketika itu, menceritakan perihal Anita yang telah ke negeri asalnya di selatan tanahair untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya. Menurut Kak Ana, setelah 3 minggu di sana, Anita telah membuat keputusan untuk tinggal terus dengan kakaknya di sana. Dari satu segi, syukur alhamdulillah Anita akan tinggal semula bersama keluarganya. Namun mengapa sebelum ini Anita tidak mahu tinggal di sana? Dan mengapa sebelum ini kakaknya pernah memberitahu bahawa beliau tidak mampu untuk menanggung Anita?
Kak Ana telah mencadangkan kepada Anita agar pulang dahulu semula ke rumah perlindungan untuk menyelesaikan segala urusan surat-menyurat dan temujanji hospital. Kak Ana juga telah mencadangkan kepada Anita agar menelefon dan membincangkan soal ini dengan saya terlebih dahulu. Seperti lazimnya, oleh kerana saya yang menghantar Anita dan anakknya ke situ, Kak Ana akan memberitahu saya terlebih dahulu sekiranya terdapat apa-apa perkembangan, sama ada menyenangkan atau tidak. Sekurang-kurangnya jika Anita menelefon saya kemudian, saya sudahpun mengetahui sedikit-sebanyak latarbelakang cerita.
Setelah menunaikan solat asar, saya dapati telefon tangan saya menyalakan lampu merah – bererti terdapat panggilan yang tidak dijawab. Terdapat 2 panggilan dari Kak Ana dan satu panggilan dari nombor yang tidak saya kenali. Dan satu SMS dari nombor yang sama meminta saya menelefon kembali. Walaupun nama tidak disebut, saya dapat mengagak panggilan tersebut dari Anita.
Berkali-kali saya mencuba untuk menelefon nombor berkenaan, namun panggilan terus disambung ke peti suara (dan saya tidak suka bercakap dengan mesin!). Akhirnya saya hanya menghantar mesej mengatakan bahawa saya telah cuba menelefon tetapi tidak berjaya.
Lalu saya terus menelefon Kak Ana. Apa yang nyata, suara Kak Ana tidak lagi setenang panggilan yang awal tadi.
Rupanya entah apa yang diceritakan oleh Anita kepada kakaknya sehingga kakaknya terus menelefon Kak Ana bukan sekadar untuk memarahi, malah memaki-hamun Kak Ana sehingga pada satu ketika mengibaratkan Kak Ana seperti lembu dan kemudian mengibaratkan Kak Ana seperti syaitan bertopengkan manusia. Entah apa juga diceritakan oleh Anita kepada kakaknya sehingga kakaknya mengugut untuk mengambil tindakan mahkamah ke atas Kak Ana kerana enggan menyerahkan dokumen-dokumen Anita dan anaknya.
Aik? Bila masa pula Kak Ana enggan menyerahkan dokumen-dokumen tersebut? Kak Ana cuma meminta Anita untuk kembali dahulu ke rumah perlindungan untuk menyelesaikan dahulu segala urusan surat-menyurat dan temujanji hospital. Akhirnya Kak Ana memberitahu Anita bahawa oleh kerana saya yang membawa Anita ke rumah perlindungan itu, maka beliau akan menyerahkan segala dokumen kepada saya dan Anita perlu mengambilnya dari saya.
Setelah bercakap dengan Kak Ana, saya cuba menelefon Anita sekali lagi. Kali ini panggilan dijawab. Sedikitpun tidak saya sebut mengenai apa yang telah diceritakan oleh Kak Ana kepada saya. Walaupun saya mempercayai Kak Ana, namun saya ingin mendengar versi cerita Anita.
Tidak banyak diceritakan Anita. Dia cuma menyebut bahawa dia telah berpindah semula ke negeri asalnya dan ingin mengambil semula dokumen-dokumen yang disimpan di tempat Kak Ana. Anita meminta bantuan saya untuk mengirimkan dokumen-dokumen berkenaan kepadanya.
Tidak lama kemudian, Kak Ana menelefon saya sekali lagi. Kali ini teresak-esak menangis. Rupanya seorang lagi kakak Anita pula menelefon untuk memaki-hamun Kak Ana. Oleh kerana tidak lagi dapat menahan geram, Kak Ana mengambil keputusan untuk menghantar dokumen-dokumen Anita kepada saya hari ini juga. Saya cuba menasihatkan Kak Ana agar tidak tergesa-gesa. Saya ingin mencadangkan kepadanya agar mengambil wudu’ dan bertenang dahulu sebelum mengambil apa-apa keputusan, namun Kak Ana ketika itu sudahpun di dalam perjalanan ke Ipoh semata-mata untuk menyerahkan dokumen-dokumen tersebut kepada saya malam ini juga!
Kesian Kak Ana. Silapnya hanyalah kerana dia terlalu mengambil berat. Walaupun Anita pernah berkasar dengannya sebelum ini di rumah berkenaan, Kak Ana terus melindungi dan membimbingnya. Namun ini pula balasan yang diterima.
Dan Anita pula? Apa yang saya nampak, Anita inginkan kebebasan. Dan kehidupan di rumah perlindungan tersebut baginya terlalu mengongkong. Dia inginkan tempat untuk berlindung dan pada masa yang sama dia ingin kebebasan untuk keluar masuk sesuka hatinya. BANYAK CANTIK LU PUNYA MUKA! Entah berapa lama pula dia akan tahan untuk tinggal di rumah kakaknya sebelum berpindah pula ke tempat lain. Benar-benar tidak mengenang budi!
Saya pasti Kak Ana menolong selama ini bukan untuk dikenang budinya. Namun bukanlah juga maki-hamun yang dijangka.
Sabarlah Kak Ana. Kita telah mencuba. Mungkin kita gagal membimbing Anita, tapi ramai lagi insan di luar sana yang masih memerlukan bantuan kita. Janganlah satu kegagalan ini melemahkan semangat kita.
Teruskanlah perjuangan Kak Ana untuk membantu insan-insan yang memerlukan bantuan dan bimbingan…